home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  






Ekonomi Indonesia:  
 Kesan Krisis  
 Langkah/Polisi  
Ekonomi Malaysia:  
 Kesan krisis  
 Langkah/Polisi  
 Keberkesanan  
   


















 
Keberkesanan Pemulihan Ekonomi Indonesia

Keberkesanan Langkah Pemulihan Indonesia


Keberkesanan langkah-langkah dan polisi pemulihan ekonomi yang telah diimplimentasikan oleh Indonesia boleh ditinjau dari aspek kekukuhan fundamental dalaman dan kepercayaan terhadap ekonomi Indonesia pada masa depan. Dalam hal ini, keberkesanan adalah hanya satu ukuran relatif kepada lag masa kerana sejauh mana keberkesanan langkah pemulihan bergantung kepada perbandingan relatif keadaan tahun 1999/2000 dengan keadaan semasa krisis (tahun 1997/1998).


Fundamental ekonomi dalam negara digambarkan melalui pertumbuhan KNK, jumlah eksport-import, keadaan inflasi, kekukuhan mata wang rupiah, keadaan hutang lapuk, keadaan pasaran saham dan kadar bunga dalaman. Tahap kepercayaan luar terhadap pemulihan ekonomi Indonesia pula boleh ditinjau dari segi aliran perlaburan langsung dan penggredan sekuriti hutang Indonesia.

Aspek fundamental pula boleh dibahagi kepada dua, iaitu fundamental mikro dan fundamental makro. Tinjauan fundamental mendapati KDNK Indonesia mula mencatatkan pertumbuhan positif pada suku tahunan kedua tahun 1999 selepas mengalami pertumbuhan negatif selama lima suku tahunan yang lepas. Belanjawan Indonesia mengganggarkan kadar pertumbuhan sebanyak 3.8 % setahun bagi tahun 2000 (Nasution: 2000). Kadar inflasi pula diramal sebanyak 4.8 %. Ini adalah satu pencapaian yang amat memuaskan kerana kadar inflasi Indonesia pernah melebihi tahap 80 % pada kemuncak krisis tetapi mula menurun pada bulan September 1998. Berhubung dengan perkembangan positif ekonomi dan kekukuhan nilai mata wang, kadar bunga di Indonesia mula menurun pada penghujung tahun 1998 sehinggalah di sekitar tahap sebelum krisis (tahun 1996).

Dari segi perdagangan, keadaan semakin bertambah baik mungkin disebabkan penurunan nilai mata wang rupiah. Ini menyebabkan Indonesia mencatatkan lebihan dalam akaun semasa sejak tahun 1998. Sentimen di bursa saham Jakarta juga beransur pulih. Indeks Kompositnya kini berada di atas paras 400 mata (411.854 pada 26 Sept 2000) setelah jatuh sehingga menghampiri paras 200 mata. Hutang tidak berbayar telah menurun dari sekitar 55 % sehingga stabil di sekitar 32 % menjelang tahun 2000. Walau bagaimanapun, tingkat KDNK masih belum mencapai pertumbuhan setinggi tahap sebelum krisis sementara kadar pertukaran (rupiah kepada satu unit dolor Amerika) adalah jauh lebih tinggi daripada kadar sebelum krisis. Begitu juga dengan kebanyakan keadaan yang lain. Walaupun terdapat peningkatan positif, ia masih di bawah pencapaian ekonomi Indonesia sebelum krisis.

Bagaimana pula dengan kepercayaan dunia luar terhadap ekonomi Indonesia? Nampaknya pengaliran keluar modal dari Indonesia masih belum menunjukkan tanda untuk berhenti. Akaun modal Indonesia masih mencatatkan aliran modal yang negatif pada tahun 1999 dan diramalkan akan menunjukkan catatan negatif pada tahun 2000. Aliran pelaburan langsung menunjukkan tren menurun dari paras tertinggi sekitar US$ 10 juta sebelum krisis (tahun 1997) sehingga US$ 1 juta pada suku pertama tahun 2000. Pelaburan portfolio pula mencatatkan aliran bersih yang negatif pada tahun 1997, 1998 dan 1999. Sekuriti hutang Indonesia diturunkan grednya menyebabkan kos pinjaman luar semakin tinggi. Setelah menerima pinjaman dari IMF, kini Indonesia dibebankan dengan kos membayar balik hutang pada masa depan. Polisi belanjawan defisit (belanjawan 2000 diramalkan akan defisit sebanyak 5 % daripada KDNK) pula memburukkan lagi keadaan hutang kerajaan.

Secara kseluruhannya, langkah dan polisi pemulihan ekonomi yang telah dilakukan oleh Indonesia memang menunjukkan peningkatan dari segi keadaan ekonomi negara. Namun, keadaan ekonomi Indonesia masih di bawah tahap pencapaian cemerlangnya pada zaman 1990an. Walau bagaimanapun, masalah terbesar yang bakal menanti Indonesia ialah masalah hutang negara setelah Indonesia menerima pakej bantuan IMF yang berjumlah berbillion dolor.


home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  

Har Wai Mun, et al @ 2000
Created:2000